Zainal Adzam Zainal Awaluddin
Aktivis Sukarelawan Muda Selangor, Zainal Adzam Zainal Awaluddin

KUALA LUMPUR –  Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari digesa mengetepikan perbezaan politik dan segera memberi bantuan kepada 92 keluarga di Sungai Kedondong yang kehilangan kediaman akibat perobohan Rabu lalu.

Aktivis Sukarelawan Muda Selangor, Zainal Adzam Zainal Awaluddin berkata, kerajaan negeri perlu memandang serius kesan perobohan itu malah masih mengabaikan kebajikan penduduk terbabit.

“Kerajaan negeri perlu memandang serius akan kebajikan mereka. Letak tepi sekiranya ada sokongan politik yang berlainan, fokus soal kesihatan penduduk perlu diberi perhatian.

“Walaupun tanah tersebut milik kerajaan negeri, berilah masa dahulu dan segera berbincang dengan penduduk bagi menyelesaikan perihal yang berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik Kerajaan Negeri Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan.

Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.

Notis penangguhan perobohan terakhir diberikan pada 4 September lalu oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah bersama pejabat tanah wakil daripada Menteri Besar Selangor.

Zainal Adzam juga melahirkan rasa terkejut dengan tindakan kerajaan Selangor yang merobohkan rumah di tepi sungai itu tanpa menyediakan kediaman sementara terlebih dahulu.

“Anak muda terkejut dan syahdu melihat rumah penduduk di Kampung Sg Kedondong, Paya Jaras Hilir telah dirobohkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Isu ini tidak boleh dipandang enteng oleh Menteri Besar dan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman walaupun mereka sudah mentadbir Selangor selama tiga penggal.

“Dimaklumkan penduduk di Sungai Kedondong dijanjikan Rumah Selangorku namun rumah tersebut masih belum lagi disiapkan,” katanya.

Lebih menyedihkan katanya, penduduk terlibat kini hanya berteduh di bawah khemah-khemah yang disumbang oleh pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdedah kepada ancaman jerebu.

“Selangor kini sedang dilanda cuaca jerebu yang amat teruk di mana IPU mencecah 200 lebih dan dikhuatiri akan wujud penyakit-penyakit yang tidak dijangka sekiranya mereka tidak diberi perlindungan sepatutnya.

“Penduduk di sana mereka hanya tidur di bawah khemah terbuka dan menikmati udara yang tidak menyihatkan. Anak muda tahu berpindah itu bukanlah suatu perkara mudah apatah lagi ingin mencari rumah di Selangor hanya mampu tengok sahaja.

“Kami juga turut memohon pelbagai latarbelakang NGO untuk turut hadir memberi khidmat bantuan dan kesihatan kepada mereka yang terbabit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette