KUALA LUMPUR – Susulan prestasi positif Wall Street selepas penurunan kadar faedah dan dengan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang disambung semula, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka meningkat melebihi paras 1,600 minggu depan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata,  saham tempatan akan mencatatkan peningkatan yang kukuh selepas keputusan bank pusat yang membayangkan langkah-langkah pelonggaran baharu dan harga minyak yang lebih tinggi.

Beliau berkata, di peringkat teknikal, landskap teknikal secara keseluruhan menunjukkan FBM KLCI masih dalam proses pemulihan melebihi ambang 1,600 mata.

“Walaupun bursa tempatan susut sedikit di bawah paras ini, kami tidak membuat perubahan kepada pandangan kami bahawa momentum meningkat.

“Dari perspektif teknikal kami, ambang yang dinyatakan boleh menjadi dasar kepada indeks. Ini terutamanya selepas kewujudan berganda petunjuk positif pada paras terendah pelbagai bulan, yang menunjukkan harga saham yang meningkat mengatasi harga saham rendah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata terdapat juga perbezaan positif dikesan pada Mei – petunjuk bahawa trend baru-baru ini menghampiri hadnya dan pasaran dijangka menyaksikan peningkatan baharu dalam tempoh terdekat.

“Pada masa depan, dijangka menyaksikan pemulihan yang kukuh dan kami mengekalkan paras sokongan kami antara 1,600 dan 1,572 mata, manakala halangan segera dilihat pada 1,660 mata diikuti paras psikologi 1,700 mata,” katanya.

Sementara itu, Nazri Khan berkata, beliau menjangka kekurangan bekalan minyak berikutan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada hujung minggu lepas dan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah akan memberi manfaat kepada sektor minyak dan gas tempatan walaupun kenyataan daripada kerajaan Arab Saudi sebelum ini bahawa bekalan mampan.

“Berdasarkan sentimen pasaran dan momentum belian yang lebih baik, pasaran tempatan akan kekal dalam perdagangan positif berikutan sentimen pasaran terus meningkat walaupun tanpa petunjuk dana yang aktif untuk pelabur,” katanya.

Pada Jumaat, pasaran tempatan mengakhiri minggu ini 0.07 peratus lebih tinggi berikutan aktiviti belian semasa harga rendah yang sederhana dalam saham berharga rendah dan bermodal kecil dengan sentimen pasaran yang berhati-hati dalam prospek pertumbuhan ekonomi global.

Bagi asas mingguan, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 3.84 mata kepada 1,597.41 daripada 1,601.25 pada minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena Hari Malaysia.

Indeks FBM Emas susut 28.36 mata kepada 11,282.97, Indeks FBMT 100 merosot 30.65 mata kepada 11,115.41 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 2.21 mata kepada 11,834.31.

FBM 70 turun 54.74 mata kepada 13,963.15 dan Indeks FBM Ace meningkat 16.26 mata kepada 4,573.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 109.82 mata kepada 15,461.93, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 28.36 mata kepada 154.55 dan Indeks Perladangan berkurangan 48.50 mata kepada 6,776.67.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 10.10 bilion unit bernilai RM8.57 bilion daripada 8.52 bilion unit bernilai RM6.95 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 6.81 bilion saham bernilai RM6.29 bilion daripada 5.514 bilion saham bernilai RM6.29 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.58 bilion unit bernilai RM339.38 juta daripada 1.754 bilion unit bernilai RM348.93 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.70 bilion saham bernilai RM322.56 juta daripada 1.24 bilion saham bernilai RM242.79 juta. – MalaysiaGazette