Pekerja dan bekas pekerja Utusan semasa mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

Assalamualaikum, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad,

Dengan rasa rendah diri dan segala hormatnya, izinkan saya merujuk kepada perkara di atas untuk saya panjangkan bagi perhatian YAB Tun,

Mewakili ahli kesatuan dan sebahagian besar kakitangan Utusan mendoakan YAB Tun dan keluarga di beri segala kebaikan rezeki di dunia dan akhirat serta kekal sihat dan seterusnya bersemangat tinggi untuk menerajui pentadbiran negara ke arah pencapaian yang terbaik menjelang Wawasan 2020.

Yang Di hormati YAB Tun,

Dengan rasa rendah diri, kami para wartawan Utusan Melayu (M) yang pernah bersama-sama membangun dan jatuh, berpanas berhujan serta menjelajah ke seluruh pelosok dunia membuat liputan bersama-sama YAB Tun sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun dan kini, ingin menyatakan rasa isi hati kami dalam suasana Utusan Melayu, akhbar keramat Melayu ini yang sedang mengalami nazak yang cukup tenat.

Sebagai sebuah kesatuan sekerja di Utusan Melayu (M) Bhd. pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keprihatinan YAB Tun dan sebahagian pemimpin lain dalam kerajaan yang amat prihatin atas permasalahan di Utusan.

Saat kami mula goyah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional, beberapa rakan YAB Tun sudi menghulur tangan bagi menjadi tempat kami mengadu dan meminta bantuan agar Utusan Melayu (M) Bhd terus terpelihara dalam kerajaan baharu dan tidak ditutup operasinya serta disisihkan. Alangkah lega permohonan kami didengari.

Namun ironinya permohonan kami untuk bertemu dengan kepimpinan UMNO waktu itu masih tiada respon walaupun surat, Whatsapp dan Telegram dikirimkan. Mungkin mereka masih stigma dengan NUJ Utusan yang dianggap pembangkang dalam syarikat . Tetapi kini ia sudah berubah dan kiriman Whatsapp dan Telegram mula berbalas dengan respon yang positif. Tetapi hasrat kami untuk berjumpa dengan kepimpinan UMNO masih tidak padam.

YAB Tun,

Hari demi hari keadaan urusniaga surat khabar Utusan Melayu (M) Bhd semakin parah pada masa yang sama pembayaran gaji kakitangan mula lewat dua hari dan kini pembayaran gaji sudah kira-kira dua bulan lewat. Suasana ini membuatkan jiwa setiap dari kakitangan Utusan terutama kakitangan bawahan tersiksa tetapi kerana sayangkan khazanah negara ini kami tetap sabar bertahan.

Dari 1,500 kakitangan pihak syarikat melakukan skim VSS kepada sebahagian dari kakitangan sehingga tinggal 800 orang sahaja.

Bulan Jun hingga terkini 2019 keadaan kakitangan semakin perit, untuk pengetahuan YAB Tun cerita anak kakitangan terpaksa minum sirap, kopi o dan teh o untuk ganti susu bayi adalah benar dan ia bukan rekaan semata-mata mahu mensensasikan cerita. Malah lebih parah lagi ada dalam kalangan kami yang bergadai barang kemas bagi menampung kelangsungan hidup.

Gerakan Piket kakitangan pada 19 Ogos 2019 terpaksa dilakukan. Khabar angin Utusan terpaksa ditutup kerana tidak mampu beroperasi mula tersebar. Fenomena simpati masyarakat ke atas masalah Utusan tercetus. Syarikat dikhabarkan memberi baki gaji sebanyak RM2,000 dari dua bulan tertunggak. Orang ramai menyangka masalah sudah selesai tetapi sebenarnya tidak.

YAB Tun,

Hakikatnya sekarang, gaji kami masih lewat dua ke tiga bulan, Perjanjian Bersama yang dimeterai antara Utusan dan Kesatuan membabitkan manafaat pekerja dimungkiri selain melakukan pelanggaran baru serta amalan yang diguna pakai sebelum ini dinafikan syarikat.

Keadaan yang sama juga dihadapi rakan kami yang mengambil VSS walaupun tawaran diberikan dengan pembayaran 12 kali, mereka tetap tabah mengambilnya dengan hati yang sayu untuk berkorban demi kesinambungan operasi penerbitan akhbar agama, bangsa dan negara ini. Kini bayaran tersebut tertunggak dua bulan juga. Situasi sukar ini dijangka akan berlarutan sehingga pertengahan tahun 2020.

Kami mula mendengar khabar berita bahawa ada pihak dalam kalangan konglomerat media mahu mengambil alih Utusan, namun pihaknya bimbang dengan tanggungan hutang yang ada dalam syarikat Utusan ketika ini berbanding jumlah aset bernilai RM400 juta dan jualan akhbar yang masih tinggi berbanding pesaing. Maka proses tersebut menjadi sukar.

Kami mohon kepada YAB Tun agar dapat membantu kami kakitangan bawahan dan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd untuk mengharungi keadaan sukar ketika ini. Diharapkan jangan disisihnya kami tapi ambil dan gilap kami ini dari seketul arang menjadi berlian serta permata yang bernilai.

YAB Tun,

Perbezaan ideologi politik harap dapat diketepikan. Dijelaskan sekali lagi, minda pemikiran akhbar keluaran Utusan Melayu (M) Bhd kini telah berubah demi kepentingan survival perniagaan. Walaupun ada orang mengatakan ia sudah terlambat tetapi langkah pertama perubahan 360 darjah telah dilakukan.

Sesungguhnya akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad kini gaya pemberitaannya yang lebih adil dan saksama serta tiada lagi berita parti tertentu sahaja disiarkan di dalamnya. Malah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Sheikh Fadzir merangkap Ketua Pengarang telah memohon maaf baru-baru ini atas gaya laporan produk Utusan Melayu (M) Bhd sebelum ini yang berat sebelah.

Kami memohon budi bicara dan jasa baik YAB Tun campur tangan untuk memberi perhatian sebaiknya dalam pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd ke arah lebih baik. Bantu kami untuk mengharungi kesukaran yang dilalui ketika ini dan memudahkannya.

YAB Tun,

Jasa YAB Tun kepada negara tidak terkira dan terlalu banyak untuk dihitung. Untuk Malaysia mendapatkan seorang pemimpin seperti YAB Tun mungkin sukar.

Seharusnya mereka harus memohon maaf kepada Tun kerana keterlanjuran dimasa lampau dimana Tun di fitnah, dimaki hamun dan dihina dek kerana arahan politik.

Selaku pemimpin nombor satu negara, tidak ada sesiapa pun yang mampu merubah keadaan dan nasib kakitangan Utusan yang mana 99 peratus daripadanya berbangsa Melayu dan agama Islam sekarang melainkan Tun sahaja. Tun mampu menentukan arah dan hala tuju akhbar ‘Suara Keramat Bangsa’ ini.

Yang berkhidmat,
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd.