Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini menafikan dakwaan dalam hantaran di blog dan tapak dalam talian bahawa ia memberi layanan istimewa kepada syarikat tertentu.
Petronas

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari diheret turun oleh tekanan jualan di kaunter berkaitan Petronas.

Pada tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.08 mata kepada 1,593.33 daripada 1,597.41 semasa ditutup pada Jumaat dan diniagakan antara 1,591.46 dan 1,597.59 sepanjang sesi dagangan pagi.

Indeks dibuka 0.18 mata lebih tinggi pada 1,597.59.

Kedudukan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 447 berbanding 234, manakala 354 kaunter tidak berubah, 952 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.06 bilion saham bernilai RM565.96 juta.

Menurut seorang penganalisis, walaupun gergasi minyak negara itu mencatatkan prestasi lebih baik dalam keputusan suku kedua yang baru diumumkan, prospek bagi sektor itu kekal kurang memberangsangkan dengan ketegangan geopolitik yang menyelubungi pasaran minyak global tidak memberikan rangsangan yang diperlukan syarikat itu.

Beliau berkata pelabur juga sedang menunggu butiran Belanjawan 2020,berikutan Malaysia menyelaraskan belanjawannnya berdasarkan harga minyak.

“Daripada perspektif pelabur, mereka juga menunggu pengumuman dividen bagi 2019, yang masih belum diumumkan,” katanya.

Kaunter berkaitan Petronas mencatatkan kemerosotan secara menyeluruh dengan saham mewah Petronas Chemical jatuh 16 sen kepada RM7.53, mengheret turun indeks CI sebanyak 2.26 mata.

Petronas Gas dan Petronas Dagangan juga antara yang mencatatkan kerugian tinggi, masing-masing turun 12 sen dan 20 sen kepada RM16.50 dan RM23.20.

Bagi saham wajaran tinggi lain, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM13.66, manakala saham perbankan, Maybank dan CIMB masing-masing susut satu sen kepada RM8.72 dan RM5.01, manakala Hong Leong Bank turun lapan sen kepada RM16.30.

Indeks FBM Emas turun 28.22 mata kepada 11,254.74, Indeks FBMT 100 merosot 27.65 mata kepada 11,087.76 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 48.81 mata kepada 11,785.50.

FBM 70 menyusut 31.60 mata kepada 13,931.55 dan FBM Ace naik 33.51 mata kepada 4,539.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.68 mata kepada 15,447.24, Indeks Perladangan merosot 39.14 mata kepada 6,737.53 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 1.70 mata kepada 152.85.

— BERNAMA