Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia menyeru agar semua balai bomba dan penyelamat di negara ini mendirikan solat hajat dan tahlil menjelang keputusan inkues kematian anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim Jumaat ini.

Saranan itu diberikan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dalam perbicaraan kes kematian Adib.

“Kami menyeru kepada seluruh warga JPBM dan rakyat jelata tanpa mengira agama serta bangsa berdoa dan mengadakan majlis tahlil dan berdoa bagi memperingati arwah selain mendoakan perjalanan keputusan inkues Jumaat ini berjalan lancar,” kata kesatuan itu hari ini.

Prosiding keatas kematian Adib dimulakan pada 11 Februari lalu di hadapan Koroner Rofiah Mohamad dengan memakan masa selama 41 hari.

Sepanjang inkues itu berlangsung, seramai 30 saksi telah dipanggil memberi keterangan dan 137 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN). -MalaysiaGazette