Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersalaman dengan sebahagian warga emas ketika melawat pusat jagaan harian pada Majlis Perasmian Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MYyAgeing) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2019

SERDANG – Kerajaan menasihati orang ramai yang berdepan fenomena jerebu agar tidak keliru dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbanding suasana sebenar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah selaras dengan piawaian antarabangsa.

Malah menurut beliau yang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), turut digunapakai di kebanyakan negara yang menjurus ke arah kelestarian alam sekitar.

“Kita mengambil maklum terdapat banyak persoalan daripada orang awam berkaitan proses bacaan IPU. Bacaan IPU yang disalurkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) adalah merupakan bacaan IPU rasmi negara.

“Data-data itu telah ditentusahkan sebelum dipamerkan kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Wan Azizah mengulas rungutan orang ramai terutama ibu bapa semalam yang mempertikaikan bacaan IPU rendah berbanding tahap jerebu yang semakin serius.

Mengulas lanjut, tambahnya, menurut JAS, bacaan IPU bukan korelasi langsung dengan visibility (jarak kenampakan) dan purata bacaannya untuk tempoh 24 jam.

Ujar beliau, orang ramai dinasihati mengikut saranan JAS agar merujuk bacaan rasmi IPU yang dikeluarkan jabatan itu sahaja bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“Bacaan IPU JAS boleh diakses melalui laman sesawang jabatan itu atau melalui aplikasi MyIPU yang boleh dimuat turun melalui Google Plays dan Apple Store,” katanya.

Wan Azizah turut memaklumkan sebanyak 40 lokasi IPU berada di tahap Tidak Sihat dan satu lokasi bacaan melebihi 200 iaitu Sangat Tidak Sihat di Johan Setia, Klang Selangor iaitu 212.

Jelas beliau, 25 lokasi IPU pula berada di tahap Sederhana. – MalaysiaGazette