KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) menafikan pengendali Liga Malaysia itu tidak prihatin dalam soal kesihatan pasukan selepas masih meneruskan aksi Piala Malaysia 2019 ekoran masalah jerebu melanda negara.

Sebaliknya MFL menegaskan, pihaknya sentiasa menitikberat soal persekitaran membabitkan setiap pasukan dan tidak akan membenarkan perlawanan berjalan jika ia memudaratkan kesihatan pemain dan pegawai pasukan.

Jelas MFL, pihaknya sentiasa berusaha keras dalam usaha memastikan perjalanan dengan lancar dan mengikuti piawaian peraturan pertandingan yang disediakan.

Katanya, MFL tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mana bacaan itu subjektif dan ia boleh berubah pada setiap masa.

Bagaimanapun, MFL menegaskan pihaknya tidak akan meneruskan aksi perlawanan Piala Malaysia 2019 jika keadaan di venue memudaratkan selepas mengambil kira keputusan daripada Komisioner Perlawanan MFL sebelum sepak mula.

“Kami akui masalah jerebu sedang melanda negara tetapi tidak bermakna MFL tidak prihatin dalam soal kesihatan apabila perlawanan Piala Malaysia 2019 diteruskan.

“Kami telah banyak mengambil langkah untuk berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Antara langkah itu adalah ‘cooling break’ ketika perlawanan berlangsung di mana pemain akan diberikan rehat dalam tempoh selama tiga minit bermula minit ke-35 dan 70.

“MFL juga sedang merancang untuk mendapatkan
alat bacaan IPU bagi membolehkan bacaan IPU boleh dibuat terus di venue itu sendiri.

“Selain itu, dalam peraturan sedia ada memang mewajibkan setiap pasukan menyediakan minimum seorang doktor. Doktor itu bukan sahaja memberikan rawatan kepada pemain tetapi beliau juga boleh memberikan khidmat nasihat mengenai situasi jerebu yang melanda di setiap venue berkenaan.

“Apa yang jadi, jika keadaan terlalu memudaratkan, MFL tidak akan membenarkan perlawanan itu berlangsung kerana kami sentiasa mengutamakan kesihatan pasukan tetapi semua pihak terlibat termasuk pegawai keselamatan, petugas stadium, penonton dan lain-lain,” kata MFL dalam satu kenyataan.

Sementara itu, MFL berharap mana-mana pihak tidak cuba mensensasikan isu perlawanan berlangsung dalam cuaca jerebu di mana MFL memberikan jaminan akan sentiasa berusaha keras memastikan aksi Piala Malaysia 2019 berjalan dengan lancar.

“Bacaan IPU itu subjektif dan kami tidak akan meneruskan perlawanan jika MFL berasa tidak selamat untuk diteruskan.

“Kami merujuk bacaan IPU yang dikeluarkan tapi Komisioner Perlawanan MFL akan memantau situasi sebenar jerebu di setiap venue kerana ada bacaan IPU tinggi tapi jarak penglihatan baik di venue perlawanan.

“Namun nasihat juga kepada penyokong-penyokong yang hadir ke stadium supaya turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng jerebu dan minum air kosong dengan banyak sebagai langkah berjaga-jaga,” ujar MFL. – MalaysiaGazette