Udaya Raj Pandey.

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 2,000 pekerja asing Nepal yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dihantar pulang ke negara asal mereka di bawah program pengampunan terbaru dilancarkan kerajaan Malaysia sejak Ogos tahun ini.

Duta Nepal ke Malaysia, Udaya Raj Pandey berkata, lebih ramai lagi warga Nepal yang telah tinggal lebih masa dan melanggar peraturan imigresen dijangka mengambil peluang yang ditawarkan itu.

“Mengikut pengiraan kami terdapat 11,000 hingga 14,000 pekerja Nepal yang tidak mempunyai dokumen kini berada di Malaysia. Sebanyak 2,000 telah kembali (ke Nepal) setakat ini.

“Kami menjangka selebihnya akan pulang (di bawah program ini),” katanya ketika ditemui Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama pada majlis sambutan Hari Kebangsaan republik itu, di sini Jumaat.

Program Pulang Ke Negara Asal (Back For Good), bermula 1 Ogos hingga 31 Disember merupakan satu lagi usaha kerajaan Malaysia untuk memberi peluang kepada warga asing yang tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah pulang secara sukarela.

Di bawah program ini, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) hanya perlu membayar kompaun sebanyak RM700 selain dikehendaki mendapatkan dokumen yang diperlukan, seperti pasport dan pas lawatan khas, dari kedutaan masing-masing.

“Kedutaan kami di sini di Kuala Lumpur akan membantu mempermudah urusan dengan menyediakan dokumen diperlukan. Semua kos ditanggung individu itu sendiri,” tambah Pandey.

Dalam perkembangan lain, utusan itu berkata, perjanjian baharu yang ditandatangani Malaysia dan Nepal mengenai pengambilan pekerja Nepal merupakan satu episod baharu bagi kedua-dua pihak.

Ujarnya, beliau akan memastikan proses itu dijalankan secara telus di samping menjaga kebajikan pekerja Nepal di Malaysia.

“Kami sedang dalam proses melaksanakan Memorandum Persefahaman (MoU) baharu itu yang ditandatangani awal bulan ini.

“Dengan itu, kami berharap banyak isu yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan dengan baik, termasuk proses pengambilan dan perkara kebajikan seperti suasana kerja, pemeriksaan kesihatan, gaji dan kerja lebih masa,” katanya.

MoU ditandatangani itu juga sekaligus menandakan larangan yang dikenakan kerajaan Nepal sejak 2018 mengenai pengambilan pekerjanya ke Malaysia ditarik balik.

Pandey menganggarkan terdapat 357,000 Nepal kini bekerja di Malaysia, terutamanya dalam sektor keselamatan, pembuatan dan hospitaliti. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.