Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas terus mendapat tekanan daripada pelbagai pihak mendesaknya melepaskan jawatan susulan langkah Mahkamah Koroner yang membenarkan bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memulakan prosiding komital (penghinaan mahkamah) terhadap dirinya.

Hari ini, Pas pula mendesak Thomas agar berbuat demikian atau parti itu akan mengadapYang DiPertuan Agong supaya memecatnya berpandukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan, “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, Pas memandang serius perkembangan terkini dan tidak yakin terhadap kredibiliti Thomas kerana mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang diPertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.

“Tindakan Tommy Thomas dianggap tidak profesional dan amat bercanggah dengan Perlembagaan Negara Persekutuan seperti dinyatakan di atas.

“Tindakan ini sekali gus menyebabkan prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib tertangguh dan kelewatan keadilan kepada keluarga Allahyarham,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan perkara sama apabila menggesa Thomas melepaskan jawatan selepas Hakim Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan secara prima facie bahawa beliau telah menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues.

Desakan itu dibuat apabila Thomas secara tidak bertanggungjawab dan subjudis telah membuat satu afidavit dengan menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian Allahyarhan Muhammad Adib yang masih menjadi persoalan cuba dirungkaikan di dalam inkues sedang berlangsung.

Prosiding keatas kematian Muhammad Adib memakan masa selama 41 hari dan sepanjang inkues itu berlangsung, seramai 30 saksi telah dipanggil memberi keterangan dan 137 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN). – MalaysiaGazette