Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu bermuhasabah diri dan bersikap “gentleman” untuk berundur daripada jawatannya susulan tindakan beliau yang telah menghina mahkamah.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, Thomas sepatutnya meletak jawatan kerana dengan jelas melakukan perkara yang telah menyalahi prinsip perundangan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, perkara itu ditunjukkan menerusi kertas alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad yang telah memutuskan secara prima facie bahawa Thomas telah menghina mahkamah apabila berlaku subjudis dengan membuat satu afidavit yang menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian Allahyarham Muhammad Adib, sebelum keputusan inkues.

“Tahniah diucapkan kepada Badan Kehakiman negara yang menjunjung prinsip pembahagian kuasa, atau “Separation of Powers” antara cabang Kehakiman (Judisiari) dan Perundangan (Legislatif) di mana wujud keadaan semak dan imbang antara kedua-dua cabang kuasa ini.

“Namun begitu, keadaan yang celaru sebegini sememangnya meremukkan harapan ahli keluarga Allahyarham Adib dan keseluruhan rakyat Malaysia yang mahu melihat keputusan inkues yang adil dan saksama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Shahir berkata, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap agar ada sinar keadilan dalam inkues tersebut dan yakin Badan Kehakiman melaksanakan tugas dengan adil.

Prosiding keatas kematian Muhammad Adib memakan masa selama 41 hari dan sepanjang inkues itu berlangsung, seramai 30 saksi telah dipanggil memberi keterangan dan 137 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN). – MalaysiaGazette