Sebuah lori treler membawa lebih 20,000 liter bahan kimia Acetone terbabas dan terbalik ke dalam tali air, kira-kira pukul 5 pagi ini.
BAGAN SERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kebakaran di Kampung Parit Mentara 3, di sini susulan sebuah lori treler membawa lebih 20,000 liter bahan kimia Acetone terbabas dan terbalik ke dalam tali air, kira-kira pukul 5 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata risiko kemungkinan itu disebabkan bahan kimia yang tumpah merupakan cecair mudah terbakar.”Apa yang kita bimbang sekarang adalah kemungkinan berlaku kebakaran kerana bahan ini sejenis gas yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Daripada kesan kepada pernafasan, risiko itu agak kurang kerana kawasan kejadian merupakan kawasan yang luas jadi gas itu ditiup angin,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurut Mohamad Yunus, pihaknya menerima panggilan pukul 9.58 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai pergi ke tempat kejadian dan operasi kini diperkuat dengan 30 anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih, Ipoh.

Menurut Mohamad Yunus pihaknya telah meminta penduduk di lima buah rumah dalam jarak 100 meter dari lokasi kejadian supaya berpindah ke kawasan selamat.

“Setakat ini, kita sedang mengggunakan air untuk menyejukkan bahan kimia bagi mengelak berlakunya kebakaran,” katanya sambil meminta penduduk setempat agar tidak panik dan memberikan kerjasama supaya keselamatan terjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata lori treler itu dipercayai tersalah masuk jalan semasa dalam perjalanan untuk membawa bahan kimia berkenan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang.

“Kemalangan menyebabkan muatan cecair kimia tumpah dan mengalir masuk ke dalam parit di situ manakala pemandu treler Mohamad Al Amib Abdil Jalil, 24, tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah membuat sekatan bagi mengelak bahan kimia berkenaan memasuki sungai.

Seorang suri rumah, Zalina Masri, 37 berkata pihak berkuasa telah mengarahkan keluarganya berpindah pada pukul 12.30 tengah hari ini atas faktor keselamatan.

“Ini merupakan kejadian yang pertama berlaku di kampung ini. Saya ingat orang jatuh ke dalam sungai dan tak sangka lori yang terjatuh,” katanya.

— BERNAMA