Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018
KUCHING – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan jumlah kutipan bayaran balik pinjaman sehingga RM2 bilion pada tahun ini, kata Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.
Katanya setakat ini PTPTN berjaya mengutip bayaran balik berjumlah RM1.3 bilion dan berada di landasan yang sepatutnya bagi mencapai sasaran kutipan untuk tahun ini.

“Tahun ini kita menyasarkan kutipan bayaran balik PTPTN berjumlah RM2 bilion, jika kita positif kita mampu mencapai matlamat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat negeri Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah.

Dalam pada itu katanya sebanyak 4.2 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah dibuka dengan keseluruhan deposit berjumlah RM5 bilion sejak pelancarannnya pada tahun 2004.

“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 219,028 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM273.25 juta di negeri Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, PTPTN menyerahkan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 1,240 anak-anak asnaf melibatkan 31 kawasan parlimen.

Setiap pelajar akan menerima RM100 di dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

— BERNAMA