KUALA LUMPUR – IKEA Asia Tenggara, satu daripada 12 pemegang francais IKEA di dunia, mencatatkan peningkatan 20 peratus hasil tahun ke tahun sebanyak RM3.7 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2019, mencerminkan pertumbuhan yang kukuh bagi perniagaan runcit big-box dan perkakasan rumah.

IKEA Asia Tenggara memiliki dan mengendalikan kedai-kedai dan platform e-dagang IKEA di tiga pasaran yang aktif iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata daripada jumlah hasil itu, operasi di Malaysia menyumbang RM1.5 bilion, diikuti oleh Thailand (RM1.2 bilion) dan Singapura (RM1.0 bilion).

Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer berkata, keputusan itu menunjukkan kedai-kedai dan pusat beli-belah IKEA mempunyai potensi hebat untuk berkembang dan membuat perbezaan kepada orang ramai, dengan menjadikan kehidupan lebih selesa dan mampan, pada harga berpatutan.

“Kami berhasrat menawarkan tawaran yang terbaik di setiap pasaran dan mempunyai pelbagai harga dalam lingkungan kami. Jadi, walaupun dalam waktu sukar, IKEA mempunyai sesuatu untuk semua orang, tanpa mengira saiz dompet pelanggan kami,” tambahnya. – MalaysiaGazette