KUALA LUMPUR – Widad Group Berhad yang terlibat dalam aktiviti pembinaan dan perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu, dianugerahkan projek bernilai RM120 juta bagi projek pembinaan stesen pindahan sisa pepejal baharu di Kepong

Dalam notis kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, subsidari milik penuhnya Widad Builders Sdn Bhd (WBSB) telah menerima surat pengesahan daripada Bumi Segar Indah Sdn Bhd (BSISB) bagi melantik WBSB sebagai sub kontraktor untuk rekaan dan pembinaan stesen pindahan sisa pepejal yang baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong.

Tempoh kontrak tersebut berkuatkuasa daripada tarikh surat pengesahan tersebut sehingga 19 April 2025.

Syarikat berkata, ia akan membiayai projek tersebut melalui dana dalaman dan pinjaman luaran serta ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang projek tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya WBSB gagal menyiapkan projek tersebut pada tarikh yang ditetapkan dan bagi tempoh yang dilanjutkan telah dipersetujui, sebanyak RM24,008.21 akan dikenakan bagi setiap tarikh kalendar seperti yang dibubar dan dipastikan (LAD) bagi tempoh tersebut yang mana projek itu kekal tidak disiapkan.

Jumlah LAD itu akan ditolak daripada mana-mana wang yang dibayar atau yang akan dibayar kepada WBSB. – MalaysiaGazette