Dr. Mahathir Mohamad

NEW YORK – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pendirian mesra perniagaan Malaysia ketika beliau menggamit pelabur Amerika untuk datang melabur ke negara itu pada Khamis.

“Secara amnya, Malaysia masih Malaysia yang sama seperti mana pada satu masa dahulu yang amat mesra dengan golongan perniagaan, negara yang menggalakkan pelaburan langsung asing dan berkembang pada asas pelaburan seumpama itu,” katanya mengenai negara yang beliau pimpin sebagai perdana menteri buat kali kedua, sejak Mei 2018.

“Ia masih sama walaupun saya tidak lagi berada dalam Barisan Nasional (BN) tetapi idea-idea masih banyak datang daripada saya,” katanya pada sesi perjumpaan dengan ahli Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN dan Dewan Perdagangan AS di sini.

Di samping mesra perniagaan, beliau berkata pelabur boleh menjangkakan sebuah negara yang akan mendengar keperluan sektor swasta.

Dr Mahathir mengambil perhatian bahawa Malaysia mendapat banyak pelaburan daripada luar negara dan berharap lebih banyak pelabur akan turut berbuat demikian. – MalaysiaGazette