Abang kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Asraf menerima pelukan daripada Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi selepas selesai menghadiri keputusan inkues bagi menentukan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan pada 27 November tahun lalu juga menyumbang kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Saya membuat dapatan bahawa kematian Adib turut disumbang oleh kegagalan PDRM dan FRU memberi kawalan kepada pihak bomba yang berada di tempat kejadian,” kata Koroner Rofiah Mohamad ketika membaca keputusan inkues siasatan punca kematian Adib.

Beliau menyerahkan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.

“Saya menyerahkan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan,” kata Rofiah

Rofiah kelihatan sesekali agak emosi ketika membacakan keputusan inkues kematian Allahyarham itu selama 30 minit.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 9.40 pagi tadi selesai pada jam 10.10 pagi.

Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu selepas mendapati keterangan 30 saksi termasuk pakar mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Sebanhak 137 eksibit dikemukakan kepada mahkamah.

Adib, 24, anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika rusuhan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Dia meninggal dunia pada 17 Disember lalu, selepas tiga minggu bertarung nyawa ketika dirawat di Institut Jantung Negara. – MalaysiaGazette