Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa polis supaya menjalankan siasatan dengan mengklasifikasikan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, polis juga perlu menangkap kembali kesemua suspek yang dibebaskan dari tahanan reman pada Disember lalu.

“DPIM juga menggesa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berundur, susulan kertas alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad telah memutuskan secara prima facie bahawa beliau telah menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues.

“Peguam Negara dengan jelas telah berlaku subjudis dengan membuat satu afidavit yang menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian Allahyarham Adib.

“Peguam Negara dilihat sudah tidak sesuai untuk mengendalikan kes ini kerana dilihat berat sebelah akibat perbuatan subjudis dalam kes inkues ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Shahir berkata, pihaknya menzahirkan rasa terima kasih di atas kerja kuat pihak peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Adib kerana menjalankan tugas tanpa rasa takut, walaupun seakan-akan mendapat tentangan pihak-pihak tertentu.

Mahkamah Koroner pada 21 Ogos lalu menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.

Prosiding inkues itu dibuat bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu dengan memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar yang berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Hari ini Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Allahyarham Muhamad Adib adalah akibat perbuatan jenayah iaitu dipukul atau dibelasah sehingga menyebabkan kematian oleh perusuh-perusuh yang cuba menghalang pihak bomba dari memadamkan kebakaran di kuil tersebut. – MalaysiaGazette