Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee

PUTRAJAYA – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) tidak menolak untuk mempertimbangkan tawaran Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bagi membantu kerajaan mendapatkan tawaran membeli tanah di Kampung Baru pada harga RM2,000 sekaki persegi.

Presidennya, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee bagaimanapun berkata, tawaran itu perlu dibawa ke mesyuarat pihaknya terlebih dahulu dan keputusan mengenainya akan diumumkan dalam satu sidang media pada masa terdekat.

“Kita akan bawa perkara ini dalam rundingan meja bulat, di mana kita akan kumpulkan fakta dan pakar bagi menentukan harga sebenar tanah Kampung Baru.

“Selepas itu kita akan umumkan keputusan kita dalam sidang media yang akan dibuat dalam dua atau tiga hari akan datang,” katanya ketika MalaysiaGazette di Karnival Rahmah 2019, di sini, hari ini.

Semalam, Khalid berkata kementeriannya sedia memberikan kerjasama dengan DPMM sekiranya dapat membantu pihaknya mendapatkan tawaran membeli tanah di Kampung Baru pada harga RM2,000 sekaki persegi.

Ia susulan daripada pandangan Setiausaha Agung DPMM, Amirhamzah Karim sebelum ini bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan oleh Kementerian Wilayah dan Persekutuan (KWP).

Dalam pada itu, Syed Hussein berkata, isu nilai tanah dan pembangunan semula Kampung Baru bukan perkara lama bahkan ia telah berlarutan sejak 50 tahun lalu.

“Ini perkara sudah 50 tahun, biar kita mesyuarat dulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast