Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berbasikal ketika hadir pada Program Eco Alami Ride 2019 di Dataran Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 29 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyanggah dakwaan wujudnya larian haram apabila beliau memperkenalkan Larian Halal sempena Karnival Rahmah 2019 Peringkat Kebangsaan.

Sebaliknya beliau menegaskan, Larian Halal bersama penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza hanya mahu mempromosikan sijil halal yang dikeluarkan pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Program Halal Fun Run itu, namanya halal sebab nama halal terkenal di seluruh dunia, dari segi pensijilan dia, bukan halal yang bercanggah dengan haram, tiada kena mengena.

“Ada orang bila keluar berita semalam, Halal Fun Ride bersama Siti Nurhaliza, ada orang tanya ada kah Haram Fun Run? Kontradisinya tidak begitu.

“Halal dalam erti kata pensijilan kita, tanda dagangan itu satu dunia tahu, kita perkenal sijil halal Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyertai Eco Alami Ride di Dataran Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas persepsi orang ramai khususnya netizen di laman media sosial mempersoalkan nama larian halal yang diperkenalkan dalam Karnival Rahmah 2019 Peringkat Kebangsaan dari 26 hingga 29 September 2019.

Larian Halal bersama Siti Nurhaliza dipertikaikan seolah-olah larian yang dianjurkan pihak lain dikategorikan sebagai haram dan berbeza berbanding tajaan Jakim.

Mujahid juga berkata, pensijilan halal Jakim juga turut mendapat pengiktirafan daripada Grand Laureate dan pencapaian itu ingin disampaikan apabila memperkenalkan larian halal itu.

“Semalam ada yang bukan Islam, malah yang banyak menyokong kita syarikat multi nasional yang mendapat pensijilan halal daripada kita.

“Itu maksud halal dengan bukan haram dalam makna pensijilan terkenal malah kita dapat Grand Laureate kerana pensijilannya.

“Itu maksud kami, bukan ada halal dan haram,” katanya. – MalaysiaGazette