KUALA LUMPUR – Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan yang mengaitkan Marhamah Rosli dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.
Dalam satu kenyataan, pejabat berkenaan memandang serius penyebaran kandungan yang didakwa cuba mengaitkan Timbalan Menteri itu dengan amalan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 September 2019 yang kini disebarkan dibuat khusus dalam konteks pembangunan insan (human development) berdasarkan perkara yang disentuh dalam hantaran berkenaan.
“Ia bukan sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Tegasnya, Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu yang dikaitkan dalam hantaran berkenaan.
Beliau juga tidak pernah mengiktiraf individu tersebut sebagai guru, selain tidak pernah mengajar, mempromosi atau menyebarkan amalan perdukunan, sihir, azimat mahupun ajaran New Age.
Pejabat itu turut mempersoalkan tindakan mencantumkan tangkap layar hantaran lama tersebut dengan beberapa video lain yang tidak diketahui kewujudannya oleh Marhamah.
Katanya, tindakan berkenaan telah mewujudkan gambaran seolah-olah kandungan video tersebut merupakan sebahagian daripada rujukan atau amalan Marhamah.
“Gambaran tersebut adalah tidak benar,” katanya.
Dalam pada itu, pejabat berkenaan mengingatkan pihak yang membuat dakwaan supaya mengemukakan bukti berdasarkan perkataan atau perbuatan Marhamah sendiri, bukannya dengan mencantumkan kandungan pihak lain bersama tangkap layar lama.
Sehubungan itu, pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan tersebut tanpa bukti diberi tempoh 24 jam daripada penerbitan kenyataan berkenaan untuk menarik balik dan memadamkan penerbitan, menghentikan penyebaran lanjut serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka di platform yang sama.
Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perkara itu dirujuk untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya, tertakluk kepada nasihat undang-undang.
Pejabat Timbalan Menteri turut menyeru semua pihak supaya bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang dipetik di luar konteks. – MalaysiaGazette
















