Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Hutang langsung negara bertambah daripada 50.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 kepada 51.2 peratus pada 2018 kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) menolak amalan pembiayaan luar belanjawan bagi menyembunyikan hutang-hutang yang meragukan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, setelah PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2018, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi
kewangan kerajaan dan ia mengesahkan bahawa hutang dan liabiliti Kerajaan sehingga akhir 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion.

“Sebahagian besar daripada jumlah ini merupakan hutang dan liabiliti yang sengaja disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan oleh pentadbiran terdahulu.

“Ini termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang
didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Guan Eng, liabiliti lain sebanyak RM260.1 bilion termasuk perbelanjaan kerajaan luar belanjawan yang dinyatakan sebagai Kerjasama Awam Swasta (PPP) atau Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Namun, tambah beliau, kos pembiayaan, risiko dan obligasi kesemua projek ini dipikul oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, jelasnya, PPP dan PFI telah disalahgunakan oleh kerajaan BN untuk memberi tanggapan palsu bahawa defisit belanjawan adalah rendah dan diiringi oleh paras keberhutangan yang lebih rendah.

Sementara itu, Guan Eng memberitahu, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan berjaya dikurangkan secara ketara daripada 79.3 peratus KDNK pada 31 Disember 2017 kepada 75.4 peratus pada tahun seterusnya.

Tambah beliau, hutang langsung meningkat daripada 50.1 peratus KDNK pada 2017 kepada 51.2 peratus pada 2018 untuk membiayai defisit kewangan secara langsung, tanpa kerajaan perlu menggunakan kaedah pembiayaan luar belanjawan untuk
menyembunyikan hutang-hutang yang meragukan seperti yang diamalkan oleh pentadbiran dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast