Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memberi peringatan tegas kepada pentadbir dua buah sekolah kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.

Pentadbir Sekolah Kebangsaan Methodist, Pulau Pinang diberi peringatan itu atas kesalahan larangan bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019.

Manakala pentadbir sebuah sekolah di Perak turut menerima peringatan yang sama berikutan penceramah kursus pendidikan seni visual menyampaikan kursus tersebut dalam bahasa Cina sepenuhnya.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Amin Senin, kementerian itu juga sedang mempertimbang tindakan tatatertib jika perlu.

“Peringatan yang sama juga telah diberikan kepada semua sekolah agar mematuhi semua Akta Pendidikan dan surat-surat siaran yang telah diedarkan kepada mereka.

“Ketidakakuran kepada peraturan-peraturan ini boleh membawa kepada tindakan tatatertib atau tindakan lain yang sesuai kepada pihak pentadbir sekolah yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan=peraturan yang telah disediakan untuk rujukan semua. – MalaysiaGazette