Gambar hiasan

DUBAI – Seorang pengawal peribadi Raja Salman ditembak dan maut dalam satu insiden ‘pertikaian peribadi’, menurut laporan media.

Kematian Mejer Jeneral Abdulaziz al-Fagham mengejutkan.

Ucapan takziah diucapkan oleh orang ramai menerusi laman sosial.

Punca kematian al-Fagham masih samar.

“Mejer Jeneral Abdulaziz al-Fagham, pengawal peribadi Pengawal Dua Masjid Suci, ditembak mati berikutan perselisihan peribadi di Jeddah,” mesej menerusi Twitter.

Stesen televisyen Arab Saudi juga tidak memaparkan maklumat terperinci mengenai kematian pengawal itu.

Agensi Berita Arab Saudi pula berkata, pertikaian tersebut menyaksikan seorang rakan al-Fagham menembak dan membunuhnya, serta mencederakan dua pekerja – seorang warga Arab Saudi dan seorang lagi pekerja Filipina.

Satu kejadian tembak-menembak meletus apabila pasukan keselamatan bertindak balas di sebuah rumah yang menyaksikan penembak terbunuh dan lima anggota pasukan keselamatan cedera, kata agensi berita itu.

Pihak berkuasa Arab Saudi masih belum memberi kenyataan setakat ini. – MalaysiaGazette