Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pengarah Kastam negeri dan dua pengarah syarikat berhubung rasuah yang membabitkan pembalakan haram, perlombongan haram dan penyeludupan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, mahkamah majistret Kota Bharu telah mengarahkan reman selama lima hari terhadap suspek tersebut pada pagi ini.

“Wang dalam jumlah yang besar telah dirampas semasa penangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Latheefa berkata, kegiatan pembalakan dan perlombongan haram di seluruh negara kini menjadi fokus SPRM kerana isu yang melibatkan alam sekitar itu adalah isu kepentingan awam dan perlu dibanteras habis-habisan.

Selain itu, kata Latheefa, akaun bank suspek, entitik dan individu lain telah dibekukan.

Katanya, ia membabitkan 20 akaun individu dan empat entiti. – MalaysiaGazette