teksi
Kelihatan deretan teksi diparkir sambil menunggu para pelanggan yang semakin kurang menggunakan perkhidmatan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) berpaling ke saluran Majlis Senator Malaysia untuk membawa isu yang melanda industri teksi negara ke Dewan Negara.

GTSM melalui Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain hari ini menyerahkan memorandum yang mengandungi tujuh tuntutan dengan matlamat memartabatkan kembali industri teksi negara kepada Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin Abd Samad pada satu majlis di sini.

Pada majlis itu, Kamarudin turut menyerahkan surat pelantikan kepada Khairuddin sebagai Penaung GTSM.

Kamarudin berkata, GTSM mengharapkan usaha yang berkesan dapat dilakukan Majlis Senator Malaysia untuk pihaknya mendapat hak sama rata seperti yang dinikmati perkhidmatan e-hailing, seperti tidak perlu menjalani pemeriksaan Puspakom seawal tahun pertama.

Khairudin berkata, Majlis Senator Malaysia prihatin dengan isu yang diperjuangkan GTSM itu dan sedia membawanya untuk perhatian kerajaan.

“Saya juga akan bawa dan bahaskan isu ini di Dewan Negara pada masa akan datang supaya isu yang membelenggu pemandu dan industri teksi diambil maklum oleh kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan memorandum itu. – Bernama