Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar tidak menjual pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion seperti yang didakwa malah kerajaan juga berjaya mengubah imej Tabung Haji (TH) selepas melakukan penstrukturan semula.

Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menegaskan, kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tentang penjualan aset-aset strategik TH disifatkannya sebagai pembohongan semata-mata.

“Sepanjang tahun ini, nilai ekuiti domestik TH telah meningkat sebanyak RM1.12 bilion iaitu daripada RM6.36 bilion pada penghujung 2018 kepada RM7.48 bilion setakat 27 September lalu. Malah, pegangan TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah bertambah sebanyak RM304 juta semenjak 18 bulan yang lalu.

“Alhamdulillah, berkat penstrukturan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya imej TH dibersihkan, kini TH berada di landasan yang betul setelah ‘dirosakkan’ oleh pimpinannya dari UMNO. Adakah Asyraf Wajdi masih dalam sindrom penafian?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Asyraf mengesa Mujahid memberi penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik Lembaga TH termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parti Buntar menambah, kenyataan Asyraf merosakkan imej TH yang boleh membahayakan kepentingan lembaganya.

“Kenyataan yang dikeluarkan langsung tidak membantu memartabatkan institusi umat Islam malah sebaliknya berpotensi menjejaskan pasaran saham dan amat membahayakan kepentingan TH secara menyeluruh yang kini telah pulih imejnya,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu menempelak Asyraf yang sepatutnya menjaga imej Muafakat Nasional dan penyatuan ummah UMNO-Pas dengan memberi cadangan dan pandangan bernas.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TH jual ekuiti RM2.6 bilion, Pemuda UMNO minta Mujahid beri penjelasan