Nur Jazlan Mohamed, foto Arkib MalaysiaGazette

TANJUNG PIAI – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed boleh menjadi calon terbaik untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai jika UMNO diberi laluan untuk bertanding.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, pada ketika Ketua MCA Tanjung Piai, Wee Jeck Seng dikatakan paling layak mewakili MCA untuk bertanding,  Nur Jazlan pula dilihat berpotensi jika UMNO yang menghantar calon.

“Nur Jazlan pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dan merupakan separuh Cina kerana ibunya seorang Cina.

“Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Cina dan merupakan calon yang sangat sesuai untuk Tanjung Piai,” kata sumber.

Sebelum disempadankan semula, Tanjung Piai pada satu ketika dahulu pernah diletak dalam kawasan Parlimen Pulai.

“Orang kuat UMNO dan bekas Menteri Penerangan iaitu Tan Sri Mohamed Rahmat pernah bertanding di Pulai, generasi lebih tua masih mempunyai ikatan emosi kepada beliau.

“Nur Jazlan merupakan anak kepada Mohamed dan beliau mampu mendapat sokongan daripada orang Melayu,” kata sumber.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini merupakan calon berpotensi yang mungkin menerima restu daripada Pakatan Harapan untuk bertanding.

Karmaine pernah bertanding di kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum 2018, tetapi tewas kepada calon UMNO, Datuk Ahmad Maslan dengan majoriti agak tipis sebanyak 833 undi. – MalaysiaGazette