Hantaran di Facebook berbaur hasutan kini dalam siasatan polis

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor mengesahkan satu laporan polis dibuat ke atas pemilik akaun Facebook bernama Nga Kor Ming Super Fan Page berhubung kenyataan berbaur menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya laporan polis itu dibuat pengiring Sultan Selangor atas arahan baginda ekoran kenyataan berbaur penghinaan yang tular dalam media sosial.

“Laporan polis itu dibuat pukul 11.15 pagi semalam di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Polis menerima satu laporan polis merujuk kepada kenyataan biadap dikeluarkan satu akaun Facebook menggunakan nama Nga Kor Ming Super Fans Page terhadap Sultan Selangor.

“Laporan itu diterima polis semalam susulan kenyataan berbaur hina dalam tulisan Cina dan biar kita siasat dalam semua aspek dulu, saya tak mahu komen lanjut buat masa ini,” katanya secara ringkas ketika ditanya pemberita selepas Majlis polis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hadir memyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019 melibatkan 100 graduan pegawai kanan dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Imigresen.

Komen Mazlan hadir selepas satu status pemilik akaun FB Nga Kor Ming Super Fans Page yang menyebarkan kenyataan biadap berbaur menghasut yang mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor.

Kenyataan itu didakwa mengajak masyarakat membenci Sultan Selangor kerana arahan baginda supaya papan tanda jalan raya di Shah Alam digantikan dengan papan tanda jalan tulisan berbahasa Melayu.

Semalam Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menasihati bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ‘bertaubat’ dan kembali kepangkal jalan daripada terus melakukan perbuatan menabur fitnah.

Beliau berkata, sebagai seorang yang beragama Islam Najib tidak sepatutnya membiarkan dirinya terjerumus dalam kancah fitnah kerana perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar.

“Nasihat saya kepada Datuk Seri Najib, sila bertaubat dan kembali kepangkuan jalan sebelum terlambat.

“Janganlah terus terjerumus dalam kancah menabur fitnah kerana dari segi Islam fitnah adalah satu dosa yang besar dan itu tidak baik.

“Kembalilah ke pangkuan jalan sebagai seorang kekanda beliau harus faham betapa seriusnya apabila kamu terus menabur fitnah,” katanya berikutan hantaran di laman Facebook Najib yang mengaitkan Nga Kor Ming Super Fans Page dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu.

Kor Ming mendakwa ia merupakan fitnah dan palsu. –  MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Kor Ming nasihat Najib bertaubat, kembali kepangkal jalan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast