Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas cubaan Pakatan Harapan (PH) untuk menuding jari kepada kerajaan terdahulu dalam mengurus tadbir negara termasuk isu berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Malah Hishammuddin menempelak Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad cuba ‘menggelapkan’ fakta bahawa penentuan nilai dividen amat bergantung kepada prestasi syarikat.

“Nik Nazmi gelapkan fakta bahawa penentuan nilai dividen amat bergantung kepada prestasi syarikat ini. Jadi amat jelas apabila nilai saham syarikat ini susut, maka dividen juga susut sehingga serendah 2 peratus. Ini bukan salah PH?

“Ya, prestasi LTAT ada turun naiknya pada zaman Barisan Nasional (BN). Tetapi Nik Nazmi tidak mengakui bahawa prestasi syarikat terbesar LTAT yang melabur iaitu Boustead alami kejatuhan nilai saham terburuk dalam sejarah.

“Ini tidak pernah berlaku pada zaman kerajaan BN,” tulisnya dalam laman sosial Twitter milik beliau hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Semborong hairan bagaimana Nik Nazmi begitu tergamak mempersoalkan usaha LTAT membayar dividen lebih kepada pencarum yang merupakan wira negara.

“Bukan sahaja dividen malah LTAT juga berusaha keras untuk membantu MINDEF membela kebajikan pencarum termasuk beli, bina rumah pertama, bant ringankan beban anggota yang kurang bernasib baik, biasiswa pendidikan serta pelbagai bentuk bantuan lain.

“Saya hairan bagaimana Nik Nazmi tergamak persoal usaha LTAT membayar dividen lebih kepada pencarum yang rata-rata wira negara yang sanggup berkorban nyawa demi negara. Jadi apa salahnya kita cari jalan pastikan nilai dividen konsisten setiap tahun demi kebajikan mereka.

“Kepada Nik Nazmi dan kerajaan PH, cukup-cukuplah tuding jari kepada kerajaan terdahulu. Akuilah kesilapan dan terimalah hakikat bahawa kerajaan PH telah gagal urus tadbir negara termasuklah menerajui MINDEF. Jangan asyik cari alasan lepas tangan,” tegasya.

Nik Nazmi dalam ciapannya di laman Twitter semalam mendakwa dividen terendah sebanyak 2 peratus yang diumumkan oleh LTAT mengundang kekecewaan namun ia adalah akibat daripada salah urus dan penyelewengan sejak bertahun-tahun lamanya.

Katanya, masalah yang dihadapi bukanlah satu fenomena baru, melainkan hasil daripada peninggalan dan salah laku masa lalu.

“Apa yang diperlukan ialah langkah-langkah konkrit untuk mengukuhkan LTAT dan kebajikan mereka yang telah sekian lama menjadi wira kepada negara.

“Agak mengecewakan apabila Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini dengan menyalahkan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan kerana dividen yang diberikan rendah.

“Beliau telah memilih untuk mengabaikan keputusan audit oleh Ernst & Young yang mendapati kadar keuntungan LTAT terkesan oleh lebihan dividen yang dibayar pada tahun-tahun sebelumnya.

“Pulangan aset lima tahun dari tahun kewangan 2014 hingga 2018 (selepas menolak keuntungan ‘one-off’) adalah lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan.

“Sebenarnya, LTAT telah membayar dividen melebihi kemampuan kewangan mereka. Ia adalah sesuatu yang janggal untuk bekas ahli kerajaan sebelum ini untuk menjual hujah dividen yang tinggi pada zaman mereka, sedangkan mereka sedang menjejaskan masa hadapan LTAT dan dana-dana lain,” katanya.

Dua hari lepas, LTAT mengumumkan mengenai dividen sebanyak 2 peratus bagi ahlinya untuk tahun kewangan (FY) 2018 berakhir 31 Dis, 2018.

Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amalizan Mohamed berkata, dividen itu berdasarkan hasil yang diraih bagi FY18 walaupun mencatat kemerosotan ketara sebanyak 51.9 peratus kepada RM221.0 juta. –MalaysiaGazette