Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (tengah) berbual mesra bersama wakil-wakil parti politik pada Program Libat Urus Terbuka 'Reformasi Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Parti politik tidak wajar meletakkan calon berusia 18 tahun untuk dipertaruhkan dalam mana-mana pilihan raya, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan, berdasarkan pengalaman mengendalikan SPR sebelum ini, beliau merasakan wakil rakyat berusia 18 tahun  tidak sesuai.

“Pendapat peribadi saya, kalau letak calon 18 tahun dan rakyat pula pilih, saya rasa ada yang tidak kena. Saya pernah uruskan PRU banyak kali, saya tengok bagaimana calon itu bawa diri.

“Bagi saya, kalau tanya umur berapa patut jadi calon, sekurang-kurangnya 35 tahun ke atas. Kalau usia sebegitu, saya rasa bolehlah jadi wakkil rakyat. Kalau kurang daripada itu, saya rasa kurang sesuai,” katanya.

Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas hadir menghadiri Sesi Libat Urus Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) Bersama Parti Politik, hari ini.

Ab Rashid ditanya mengenai kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun semalam yang berkata parti politik boleh mula meletakkan calon berusia 18 tahun bermula Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Katanya, ini berikutan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang sudah diwartakan.

Pada 4 September lalu, pindaan Perkara 47 (calon usia 18) dan Perkara 119 (had usia mengundi) Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong dan diwartakan pada 10 September.

PRK bagi Parlimen Tanjung Piai, Johor diadakan pada 16 November ini, sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November, manakala tarikh mengundi awal pada 12 November. -MalaysiaGazette