KUALA LUMPUR – Kesemua estet sawit yang melebihi 40.47 hektar (100 ekar) dan kilang buah sawit wajib mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) atau memulakan proses pensijillan menjelang 1 Januari 2020, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sekiranya gagal berbuat demikian akan menjadi satu kesalahan dan MPOB boleh mengenakan denda, menggantung, membatalkan atau tidak memperbaharui lesen sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan 15 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

Sehingga 31 Ogos 2019, keluasan tanaman kelapa sawit yang telah dipersijilkan adalah sebanyak 2,956,925 hektar atau 50.6 peratus daripada jumlah keluasan 5.85 juta hektar termasuk pekebun kecil, kata MPOB dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala bagi kategori kilang buah kelapa sawit sebanyak 288 buah kilang atau 64.29 peratus daripada keseluruhan 448 buah kilang telah berjaya dipersijilkan.

MSPO akan dilaksanakan secara mandatori bermula 1 Januari 2020 selaras dengan pengumuman kerajaan pada 24 Februari 2017.

Menurut MPOB, pelaksanaan itu bertujuan untuk meningkatkan imej minyak sawit negara dari perspektif kemampanan di samping memenuhi permintaan pasaran antarabangsa bagi minyak sawit yang disijilkan mulai 2020.

Selain itu, ia juga selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit mampan Malaysia di pasaran global.

Sehubungan itu, kesemua pekebun kecil, estet dan kilang buah kelapa sawit yang masih belum memperoleh sijil MSPO atau memulakan proses pensijilan digesa agar segera mendapatkan pensijilan MSPO.

Bagi tujuan tersebut, pekebun kecil boleh menghubungi Pusat Piawaian Kemampanan dan Pensijilan, MPOB di talian 03-89110179/0180/0182/0193 manakala bagi kategori estet dan kilang buah kelapa sawit mereka boleh menghubungi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia di talian 03-21810192.

Sementara itu, kerajaan juga telah memperuntukkan dana insentif MSPO bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak industri sawit dalam melaksanakan keperluan pensijilan MSPO dan hanya mereka yang berjaya mendapatkan pensijilan atau memulakan proses pensijilan sebelum 1 Januari 2020 sahaja layak menerima insentif ini.

Mulai 2020, semua kos pensijilan perlu ditanggung sendiri tanpa insentif kerajaan. – MalaysiaGazette