Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan sebahagian peguam yang hadir pada Persidangasn LAWASIA Konstitusi dan Kaedah Undang-Undang di One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terdapat undang-undang tidak baik yang diamalkan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, lantaran itu Pakatan Harapan (PH) berhasrat menggubal undang-undang lebih baik menggantikan undang-undang tersebut apabila menjadi kerajaan.

Namun malangnya kata beliau, pengenalan undang-undang baharu memiliki hubung kait dengan Perlembagaan.

“Undang-undang baharu memerlukan majoriti dua pertiga untuk diluluskan. Memandang kami menang majoriti mudah, kami tidak mendapat majoriti untuk pengenalan undang-undang baharu.

“Kami terhalang dengan Perlembagaan untuk memenuhi manisfesto PH. Namun rakyat tidak sabar dan kini kami dikritik kerana tidak penuhi janji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucapan pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LawAsia 2019 di sini hari ini.

Mahathir turut menjelaskan sekali lagi PH pada mula beranggapan akan berdepan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu.

Jelas beliau, sebab itu parti tersebut memasukkan manisfesto yang sukar sebagai janji kepada rakyat.

“Kami ingat akan kalah dan kerajaan terdahulu yang akan terus dengan manisfesto itu.

“Tapi kami menang dan perlu menghadapinya pula. Kami juga menjadi mangsa manifesto sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast