Mohd Zahidi Zainuddin

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih meneliti laporan audit yang disediakan syarikat perakaunan Messrs Ernst & Young berhubung kedudukan sebenar lembaga itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017 dan 2018.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata tindakan selanjutnya akan diambil termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur-unsur kesalahan jenayah.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah terdapat beberapa penemuan yang meninggalkan kesan mendalam terhadap wang simpanan ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zahidi berkata penelitian laporan audit telah dilakukan sejak tahun lepas bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan bagi membersihkan LTAT daripada hal yang memudaratkan kewangan dan simpanan ahli.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, simpanan ahli sekarang adalah terjaga dan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi menjana pulangan yang mampan untuk ahli di masa akan datang.

Menurutnya, pengisytiharan dividen baru-baru ini juga selari dengan kedudukan kewangan pada ketika ini setelah penilaian dan penyataan semula akaun-akaun tahun 2016 dan 2017 dilakukan.

LTAT mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta.

— BERNAMA