Zainal Kling
Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling bercakap pada sidang media mengenai Kongres Maruah Melayu di Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Keterlibatan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam mesyuarat Sekretariat Kongres Maruah Melayu hanyalah semata-mata untuk memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri perhimpunan orang Melayu, esok.

Ketua Eksekutif Sekretariatnya, Prof Emiritus Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak terlibat dalam sebarang perbincangan tentang isu yang dibangkitkan dalam kongres itu.

“Kita sahkan perkara itu tetapi kita berbincaang bagaimana nak dapatkan Dr Mahathir, kerana beliau terlampau sibuk di dalam dan di luar negeri, masa beliau teramat penuh.

“Kehadiran Datuk Seri Hamzah itu kerana kita ingin menggunakan sedikit saluran politik kerana beliau mempunyai kaitan dan hubungan dengan pimpinan negara.

“Melalui beliau kita dapatkan tarikh bagaimana nak mendatangkan Dr Mahathir, untuk menyampaikan keputusan-keputusan dan dapatan-dapatan kita itu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa mesyuarat sekretariat orang Melayu itu didalangi oleh pemimpin politik daripada PPBM susulan tular di media sosial gambar Hamzah seolah-olah menjadi pengerusi dalam satu perjumpaan.

Menurut Zainal, beliau sebenarnya mempengerusikan mesyuarat sekretariat itu dan Hamzah tidak terlibat langsung dalam membuat sebarang keputusan bagi setiap perbincangan yang melibatkan empat universiti tempatan.

“Perbincangan, pandangan dan segala keputusan yang didapati mengenai isu politik, ekonomi, agama dan budaya ini adalah semata-mata dijalankan oleh pakar-pakar dan juga tokoh-tokoh di universiti dengan memanggil tokoh-tokoh luar,” katanya.

Ditanya tentang kepentingan saluran politik itu, Zainal menjelaskan hanya melalui pemimpin politik yang rapat dengan Dr Mahathir sahaja boleh memastikan kehadiran tetamu kehormat itu.

“Barangkali dengan menemui Dr Mahathir melalui rakan-rakan yang rapat dengan beliau secara yang kerap dapat kita mencari masa dan menetapkan masa supaya Dr Mahathir benar-benar dapat datang untuk kongres ini.

“Kerana itulah kita berbincang rapat dengan Datuk Seri Hamzah supaya pastikan Dr Mahathir akan sampai,” katanya.

Zainal tidak menolak penglibatan pemimpin politik dalam kongres itu namun hanya sekadar untuk mendapatkan input bagi kluster politik yang dibincangkan oleh pemikir dan tokoh akademik daripada Universiti Malaya (UM).

“Pada saat ini kita tahu bahawa golongan ini adalah dalam Bersatu, tetapi kita tidak melibatkan parti Bersatu.

“Kita melibatkan mereka ini sebagai penghubung yang boleh, tapi kita tidak memanggil sebarang tokoh parti Bersatu untuk bercakap, untuk berbincang atau mencari keputusan. Tiada langsung.

“Kalau kita panggil pun tokoh politik kerana kita inginkan input daripada golongan politik bekas politik, dalam politik, dalam Pas, dalam UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette