KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim II (JDT II) membawa bekalan tipis apabila hanya mampu menewaskan UKM FC 1-0 pada aksi pertama final Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di Johor malam tadi.

Walaupun menurunkan barisan yang sama ketika menewaskan Terengganu FC II (TFC II) dengan agregat 4-2 pada aksi separuh akhir, 27 September, skuad kendalian Ervin Boban terpaksa `bermandi peluh’ untuk merobek gawang anak didik Sulaiman Hussain.

Pada aksi malam tadi, benteng pelawat cemas pada minit ke-18 selepas bola umpanan Ramadhan Saifullah Usman tepat kepada Nico Fernandez, namun pemain import Argentina itu gagal melakukan penyudah tepat tatkala berada di dalam kotak penalti.

Pelawat pantas melakukan serangan balas pada minit ke-35 apabila bola umpanan Milad Zeneyedpour yang menolak ke belakang ketika berada di dalam kotak penalti menyaksikan Wan Faiz Wan Sulaiman merembat bola leret memaskan penjaga gol, Haziq Nadzli merebah badan untuk menangkap bola.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah terlepas peluang merungkai jaringan pada minit ke-47 apabila bola umpanan Rozaimi yang membuka ruang buat Ghaddar merembat, namun sempat dikuis keluar penjaga gol, Khatul Anuar Md Ali.

Ghaddar tampak tidak berpuas hati selepas dikeluarkan pada minit ke-57 apabila mempersoalkan tindakan Boban menggantikannya dengan Amirul Hadi Zainal bagi mempertajamkan barisan serangan.

Ternyata percaturan Boban membuahkan hasil apabila Amirul Hadi yang tidak dikawal bertindak masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan Khatil Anuar untuk meletak JDT II mendahului 1-0.

Dengan kemenangan 1-0 hasil gol tunggal Amirul Hadi, skuad Merah Biru akan membuat perhitungan terakhir di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 12 Oktober ini. – MalaysiaGazette