KUALA LUMPUR – Sri Lanka menerima hakikat kekalahan 6-0 kepada Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Ketua Jurulatihnya Packeerali Mohamed Nizam berkata, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sememangnya beraksi cemerlang sehingga pasukannya berdepan masalah untuk kekal fokus dalam perlawanan sepanjang 90 minit.
“Kami sebenarnya kalah tadi dengan margin tinggi 0-6. tapi saya akui Harimau Malaya beraksi dengan baik denhgan memberi tekanan tinggi kepada anak buah saya.
“Kami sebenarnya mendapat banyak peluang dan ruang mencipta gol awal separuh masa pertama di gawang lawan.
“Bagaimanapun anak buah saya gagal memanfaatkannya untuk mencipta gol terhadap tuan rumah malam tadi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Malah katanya, penjaga gol utama mereka Muhamadu Ishan yang tidak bersama mereka malam ini juag satu lagi faktor Sri Lanka hilang sengat.
Ditanya masalah utama anak buah pada 20 minit pertama separuh masa pertama sehingga dibolos 3 gol, katanya mereka menerima hakikat berdepan Malaysia yang merupakan pasukan terkuat di rantau ini.
“Penjaga gol utama tidak bersama malam ini dan dia akan menyertai kami di Korea Selatan minggu depan, dan itu kekurangan kami rasai tadi sehingga dibolos 6 gol kepada Malaysia.
“Kami kena terima fakta Malaysia pasukan terkuat, anak buah saya leka dari segi ‘attacking third’.
“Saya faham mereka tiada dalam perlawanan sepanjang 90 minit kerana ada masalah dan itu yang saya perlu tangani segera supaya tak berulang semasa pusingan kelayakan Piala Dunia di Korea nanti,” tegasnya. – MalaysiaGazette