Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka menyusut pada minggu depan, dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mungkin turun ke paras 1,540, tertekan oleh kebimbangan terhadap kelembapan global, penyusutan ringgit berbanding dolar US dan kemelesetan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, data pembuatan Amerika Syarikat (AS) yang tidak menggalakkan baru-baru ini mencadangkan ekonomi global akan terus perlahan disebabkan ketegangan perdagangan yang berlarutan.

Bagaimanapun, penanda aras tempatan yang lemah sepatutnya tidak berterusan dan akan berhenti seketika untuk bernafas menjelang pembentangan Belanjawan 2020 minggu depan.

“Pembentangan belanjawan fiskal dirumuskan di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan akan menjadi pemangkin positif bagi pasaran tempatan, titik perubahan untuk kerajaan memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap pasaran kewangan.

“Selain ketidaktentuan yang semakin meningkat dan potensi berlakunya kelembapan ekonomi global yang semakin buruk, belanjawan tambahan dijangkakan tanpa mempertaruhkan penyatuan fiskal,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan belanjawan akan memberi tumpuan kepada ekonomi digital, upah rendah dan kuasa pengguna B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah), yang akan memulihkan sentimen terhadap pasaran domestik tatkala ia beralih ke era pasca Wawasan 2020.

Di samping itu, katanya kerajaan telah menunjukkan kesediaannya untuk menimbangkan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti dicadangkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

MIER baru-baru ini menggesa kerajaan untuk mengkaji memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus untuk meningkatkan kewangan kerajaan.

Dari segi teknikal, Nazri Khan berkata walaupun tiada isyarat positif ketika ini, beliau berharap untuk melihat perkembangan positif yang kukuh daripada paras terendah 1,503 mata yang dicatatkan beberapa tahun lepas, yang merupakan paras sokongan baharu, dipacu paras terendah 1,532 mata pada 25 Ogos.

“Namun, kami menyemak semula paras rintangan segera yang akan berlegar antara 1,572-1,600 mata dan paras sokongan antara 1,540-1,530 mata.

“Berikutan risiko yang tidak menentu di peringkat global, sebaiknya pelabur mengambil pendekatan selamat dengan memberi tumpuan pada saham dividen dan berdaya tahan di dalam negara,” katanya.

Sementara itu, pakar strategi pasaran Asia Pasifik di AxiTrader Stephen Innes berkata, pelabur asing dijangka tidak memasuki pasaran buat seketika untuk melihat kejutan yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2020.

“Tetapi tumpuan kekal kepada perdagangan AS-China berikutan terdapat petanda baik dan dengan Rizab Persekutuan AS dijangka menurunkan kadar faedah, ini sudah memadai untuk meningkatkan sentimen untuk jangka pendek.

“Bagaimanapun, saya fikir keadaan kurang yakin terhadap pertumbuhan global akan terus memberi kesan terhadap sentimen pelabur dan keadaan itu dengan ditambah dengan belanjawan, akan menyebabkan pelabur terus berhati-hati,” katanya.

Pada Jumaat, Bursa Malaysia ditutup 0.41 peratus lebih rendah disebabkan aktiviti jualan berterusan ditengah-tengah kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan pelabur mengukuhkan kedudukan mereka pada minggu ini.

Pada asas minggu ke minggu, FBM KLCI turun 26.47 mata kepada 1,557.67 daripada 1,584.14 semasa ditutup pada minggu lepas.

Indeks FBM Emas merosot 157.37 mata kepada 11,048.52, Indeks FBMT 100 turun 164.28 mata kepada 11,0874.33 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 114.55 mata kepada 11,646.62.

FBM 70 turun 124.23 mata kepada 13,806.48 dan Indeks FBM Ace susut 43.54 mata kepada 4,509.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 319.97 mata kepada 14,997.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.87 mata kepada 151.26, dan Indeks Perladangan menguncup 155.59 mata kepada 6,567.98.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 9.73 bilion unit bernilai RM7.26 bilion daripada 9.89 bilion unit bernilai RM7.52 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 5.83 bilion saham bernilai RM6.59 bilion berbanding 5.81 bilion saham bernilai RM6.67 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.44 bilion bernilai RM283.57 juta berbanding 1.72 bilion bernilai RM379.59 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.44 bilion saham bernilai RM386.34 juta daripada 2.35 bilion saham bernilai RM462.30 juta. – MalaysiaGazette