Kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol semasa membentangkan manifesto gabungan parti tu dalam pilihan raya umum yang lalu.

SUBANG – Manifesto Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu tidak menyebut akan menghapuskan tol, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, beliau mengakui kebanyakan pemimpin PH tidak membaca manifesto dengan teliti menyebabkan ada yang terbawa-bawa dengan pandangan pembangkang.

“Ya, ada dibangkitkan (dalam temu rapat) bahawa ramai daripada kami tidak baca betul-betul manifesto kami sendiri misalnya kami tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol.

“Tetapi ini dianggap sebahagian manifesto kami. Dan ada banyak lagi perkara lain yang tidak dibaca dengan teliti sehingga kadang-kadang kita terbawa-bawa dengan pandangan pihak pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Temu Rapat Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di sini.

Untuk rekod, manifesto PH menyatakan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast