Anggota bomba memeriksa rumah teres yang musnah dijilat api dalam kebakaran di Bandar Tun Razak malam tadi

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah teres di Lorong Makmur 1, Bandar Tun Razak, di sini musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.48 tengah malam tadi.

Katanya, seramai 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP Pudu dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati rumah berkenaan sedang terbakar sebelum kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 1 pagi,” katanya menerusi kenyataan.Menurut jurucakap itu, kebakaran tersebut menyebabkan rumah teres berkenaan musnah 100 peratus.

Bagaimanapun, tidak ada mangsa yang dilaporkan cedera dalam insiden itu dan punca kejadian turut masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette