Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (kanan) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengkaji sebarang bidaan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang berminat untuk membeli Plus Malaysia Berhad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika ada bidaan yang sesuai dengan kehendak kerajaan, ia akan dilayan.

“Kita boleh jual tetapi kita pun kena ada tempat, ada constraint (kekangan) di situ,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Kenyataan itu dibuat selepas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menegaskan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Sayap pelaburan itu telah pun menolak semua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

Untuk rekod, Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam Plus manakala bakinya dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Beberapa syarikat telah menyatakan minat untuk membeli Plus termasuk RRJ Capital, sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang menawarkan RM3 bilion untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan syarikat konsesi lebuh raya itu.

Ditanya mengenai pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Dr Mahathir berkata, kenyataan yang dibuat pada Khamis lalu dibuat tanpa merujuk kepada Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir berkata, beliau hanya menjawab pertanyaan media mengenai usul Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang mahu kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

“Kita tidak lakukan perbincangan itu lagi, saya ditanya oleh media dan saya jawab.

“Kalau timbul permintaan daripada rakyat, kita sensitif kepada kehendak rakyat, kita akan kaji. Tapi tidak ada kajian yang dibuat pada waktu ini. Masa saya menjawab itu belum ada persidangan Majlis Presiden,” katanya lagi. -MalaysiaGazette