KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan ASEAN menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan International Association of Islamic Bussines (IAIB) yang berpangkalan di Rusia bagi membuka peluang kepada usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Menurut Timbalan Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, melalui kerjasama itu kedua-dua pihak akan menganjurkan “ASEAN Halal Expo & Business Summit” yang dijadualkan pada April tahun depan.
“Kita akan bawa usahawan dari negara ASEAN, khususnya Malaysia untuk mempromosikan perniagaan mereka di Rusia.
“Sebanyak 300 hingga 400 ruang perniagaan disediakan kepada usahawan dalam pelbagai bidang untuk memperomosikan produk mereka pada ekspo itu.
“Bandar Tyumen di Rusia dipilih sebagai lokasi ekspo itu kerana mempunyai populasi yang besar dengan lima juta penduduk dan umat Islam juga ramai,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sohaimi yang mewakili Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamed Izat Emir menandatangani MoU itu sempena Volga Investment Summit yang berlangsung di Samara, Rusia bermula 3 hingga 5 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Sohaimi berkata, expo, pameran dan simposiun yang akan berlangsung tahun depan itu akan memberi fokus kepada pelbagai sektor perniagaan termasuk farmasi, produk kecantikan, ternakan, pertanian dan lain-lain.
Program itu bukan saja memberi fokus kepada jualan produk, tetapi business matching, business talk, MoU dan pelbagai lagi peluang turut disediakan kepada usahawan untuk meneroka pasaran antarabangsa
“Ekspo itu dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dan ini adalah peluang terbaik usahawan Malaysia untuk mengeksport produk mereka dan mengembangkan perniagaan ke Rusia,” katanya.
Usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di pejabat Dewan Perdagangan ASEAN di Plaza Mentari Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor atau hubungi talian 03- 56212501.
Sekretariat khusus bagi program itu akan ditubuhkan dengan kerjasama IAIB Malaysia diketuai Presiden Mofaz Group, Mohamed Fauzy Abdul Hamid. – MalaysiaGazette