Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sedang mengenal pasti aset-aset untuk dilupuskan bagi mengurangkan hutangnya kepada RM35 bilion hingga RM40 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjualan aset-aset oleh Khazanah bukan luar biasa kerana sayap pelaburan milik kerajaan itu pernah menjual lebih daripada 100 aset bernilai RM65 bilion dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Aset-aset yang hendak dijual masih dikenal pasti oleh Khazanah supaya ia boleh menguruskan hutangnya antara RM35 bilion hingga RM40 bilion,” katanya di luar Forum Khazanah Megatrends 2019 di sini hari ini.

Oleh itu, Khazanah perlu membuat pertimbangan strategik berdasarkan keadaan pasaran untuk mewujudkan nilai asetnya.

Menurutnya, hasil daripada penjualan aset-aset itu nanti akan dilaburkan semula dalam aset lain supaya dapat memberikan pulangan lebih baik kepada Khazanah, seterusnya memberi dividen kepada kerajaan.

Jumaat lalu, Pengarah Urusan Khazanah berkata, sayap pelaburan itu berupaya mengurangkan beban hutangnya dari RM55 bilion kepada RM47 bilion dalam tempoh setahun melalui jualan aset dan pelaburan miliknya.

Menurut Datuk Shahril Ridza Ridzuan, walaupun nilainya bernilai RM130 bilion tetapi hutangnya sudah susut sebanyak RM10 bilion dan ia mengukuhkan kedudukan imbangan bersih Khazanah.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin ketika ditanya mengenai penjualan kepentingan Malaysia Airlines Berhad berkata, Khazanah sedang menilai beberapa cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pihak.

“Bagaimanapun saya bukan berada pada kedudukan untuk memberi perinciannya,” tambahnya. – MalaysiaGazette