Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bakal menikmati  manfaat daripada Program Subsidi Petrol (PSP) yang dilancarkan kerajaan hari ini.

Ia membabitkan jumlah tanggungan kerajaan sebanyak RM65.4 juta sebulan dan akan bermula pada 1 Januari 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Program Subsidi Petrol itu membabitkan kadar subsidi sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal.

“Program Subsidi Petrol dikhususkan kepada penerima BSH yang memiliki kenderaan mengikut kriteria ditetapkan iaitu RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal, yang akan dimasukkan ke dalam akaun 2.9 juta penerima.

“Program Subsidi Petrol hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sahaja manakala Sabah, Sarawak dan Labuan harga petrol kekal RM2.08 seliter,” katanya pada sidang media khas pengumuman Subsidi Petrol di sini hari ini.

Tambah beliau, melalui program itu, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan di laman web psp.kpdnhep.gov.my dan semakan menegnai kelayakan boleh dibuat bermula 15 Oktober ini. – MalaysiaGazette