Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) bersama Tengku Permaisuri Norashikin.

KUALA LUMPUR – Tengku Permaisuri Selangor kesal tindakan penguat kuasa terhadap seekor anjing terbiar seperti video yang tular.

Tengku Permaisuri Norashikin berkata, sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS) beliau kecewa dan sedih kerana kejadian kejam seumpamanya masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran telah dilaksanakan membabitkan haiwan-haiwan terbiar.

“Saya amat kesal apabila diperlihatkan dengan satu klip video yang menunjukkan beberapa anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas,” katanya dalam status media sosialnya hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin menggesa agar pihak-pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes-kes membabitkan haiwan-haiwan terbiar di jalanan.

“Saya difahamkan kerajaan Negeri Selangor melalui Yang berhormat Ng Sze Han telah memohon maaf di atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit.

“Justeru, selepas ini saya berharap prosedur penangkapan haiwan-haiwan jalanan yang telah ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan itu dan juga keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terlibat.

“Saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya prosedur ini dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan-haiwan terbabit,” katanya lagi.

Dalam masa sama, prosedur yang sama juga perlu diperkemas dan dilaksanakan sesuai dengan situasi-situasi tertentu.

“Buat kesekian kalinya saya mohon agar semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya, supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan-haiwan terbiar yang memerlukan bantuan.

“Harus diingat, Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

“Sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya menggesa pihak berkuasa terlibat agar bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin, ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan,” ujarnya.- MalaysiaGazette