Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Satu kajian mengenai subsidi petrol untuk disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) mendapati ada dalam kalangan mereka mempunyai enam buah kenderaan.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, subsidi bersasar itu perlu dilaksanakan bagi memastikan hanya golongan sasaran yang layak sahaja berhak menikmati subsidi berkenaan.

“Kita dapati setelah dikaji ada orang di bawah B40 memiliki sehingga 6 kereta dan mereka menikmati subsidi yang kita beri daripada minyak.

“Atas sebab itu sekarang kita beri untuk satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40. Kita tidak boleh bagi subsidi kepada orang kaya,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bakal menikmati  manfaat daripada Program Subsidi Petrol (PSP).

Program subsidi petrol itu membabitkan kadar subsidi sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal yang akan dilaksanakan mulai Januari depan.

Dr. Mahathir berkata, di bawah pelaksanaan program subsidi petrol lama golongan kaya yang memiliki kereta mewah turut menikmati manfaat daripadanya.

“Kita lihat subsidi lama yang guna Rolls Royce dapat subsidi, takkan kita nak sokong. Sebab itu sekarang ini kereta bawah 1,600 cc dapat subdidi, bawah B40, untuk satu kereta sahaja.

“Ini bantuan tepat kepada mereka yang perlu bantuan. Bukan orang ada Roll Royce ada dua, tiga biji (kereta) pun dapat subsidi daripada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette