Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hadir untuk dirakam keterangan oleh Pasukan D5 JSJ di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 08 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hadir ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan berhubung isu Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page menghina Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah yang tersebar sejak 29 September lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan menaiki kereta rasmi perdana beliau yang terteranya Timbalan Yang Dipertua dengan jata Malaysia pukul 1.25 tengahari tadi.

Beliau ditemani Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar.

Turut hadir menunggu beliau Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Beruas merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; serta beberapa pemimpin DAP.

Ramkarpal yang merupakan peguam Kor Ming juga bersama pemimpin itu untuk dirakam keterangan Bukit Aman oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor mengesahkan Kor Ming akan dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini berhubung isu tersebut.

Pada 1 Oktober lalu pengiring Sultan Selangor telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam.

Hantaran dalam tulisan Cina menerusi sebuah akaun Facebook bernama Nga Kor Ming Super Fans Page mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor berkaitan penggunaan tulisan Jawi pada nama jalan.

Ahli Parlimen DAP, Teluk Intan itu bagaimanapun menafikan mempunyai kaitan dengan laman page tersebut. – MalaysiaGazette