KUALA LUMPUR – Anugerah Akademi mencipta sejarah apabila menerima penyertaan filem dari 93 negara dalam kategori Filem Antarabangsa Terbaik untuk Oscars ke-92.

Jumlah itu tertinggi untuk kategori tersebut apabila meningkat dari 92 negara pada tahun 2017.

Lebih menarik, ia melibatkan penyertaan pertama kali dari Ghana, Nigeria dan Uzbekistan.

Malaysia turut menyertai senarai itu dengan filem M for Malaysia arahan Ineza Rousille dan Dian Lee yang berkisar tentang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Filem itu akan bersaing dengan filem lain dari Asia Tenggara seperti “mMemories of My Body arahan Garin Nugroho dari Indonesia; A Land Imagined arahan Yeo Siew Hua dari Singapura; In The Life of Music arahan Caylee So dan Sok Visal dari Kemboja; dan Inhuman Kiss arahan Sitisiri Mongkolsiri dari Thailand.

Berdasarkan ramalan, antara filem yang dijangka menjadi pilihan termasuk Parasite dari Korea Selatan arahan Bong Joon Ho yang memenangi anugerah Palme d’Or di Cannes pada Mei lalu.

Selain itu, filem Pain and Glory dari Sepanyol yang dibintangi Antonio Banderas, Les Misérables dari Perancis, dan “Atlantic” dari Senegal diramal memenangi anugerah Oscar.

Definasi filem antarabangsa oleh The Academy of Motion Picture Arts and Sciences adalah sebuah gambar bergerak lebih dari 40 minit yang dihasilkan di luar Amerika Syarikat dengan dialog yang tidak banyak berbahasa Inggeris.

Kesemua 93 filem itu akan disenarai pendek kepada 10 filem yang bakal diumumkan pada 16 Disember ini.

Keseluruhan pencalonan dalam semua kategori pula akan diumumkan pada 13 Januari depan sebelum anugerah itu berlangsung pada 9 Februari depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast