Jacob George

KUALA LUMPUR – Program Subsidi Petrol (PSP) yang diumumkan oleh kerajaan adalah satu berita yang mendukacitakan kepada rakyat.

Sudahlah janji-janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak ditunai sepenuhnya, PSP yang diumumkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna langsung tidak membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, PSP diumumkan tanpa kerajaan membuktikan ia adalah satu program yang efektif.

Ini kerana, kerajaan tidak melakukan kajian secara mendalam dan menguji keberkesanan PSP.

“Sewajarnya dalam isu-isu penting seperti subsidi petrol, kerajaan perlu melaksanakan kajian projek perintis untuk melihat rasional dan menangani lompong-lompong dan kelemahan serta penyalahgunaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

“Malangnya, PSP ditetapkan untuk dikuatkuasakan sebelum program benar-benar diuji atau dicabar,” katanya kepada MalaysiaGazette

Beliau mendakwa, PSP yang dibuat semata-mata untuk tujuan politik berbanding daripada memikirkan kesejahteraan rakyat.

Ia berdasarkan penerima subsidi hanya ditetapkan kepada golongan penerima Bantuan Sara Hidup yang kebanyakan menetap di kawasan luar bandar.

Sedangkan, secara logiknya, PSP itu perlu diagihkan secara lebih meluas mengikut kemampuan rakyat termasuk golongan miskin bandar, penuntut-penuntut dan golongan warga emas.

“Bagi saya, skim ini tidak akan menangani isu sebenar kemiskinan bandar dan luar bandar yang semakin teruk,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast