Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan prosiding kes berprofil tinggi membabitkan dakwaan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah masuk hari ke-20 hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan sebanyak 21 pertuduhan termasuk penggubahan wang haram dan salah guna kuasa menggunakan dana 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini melibatkan sambungan pemeriksaan balas pihak peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan saksi kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Semalam, Shahrol mengakui tidak mempunyai sebarang bukti bagi menyokong kenyataan Najib mengetahui tentang muslihat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam projek pembangunan Pulau Bidong di Terengganu.

Malah Muhammad Shafee mencadangkan Jho Low sebenarnya hanya bekerja secara ‘solo’ dan berkemampuan menipu dan melakukan manipulasi dengan sesiapa sahaja termasuk saksi yang kemudiannya diakui oleh Shahrol.

Selain daripada pendedahan itu, Shahrol turut memberitahu, 1MDB dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengalami kerugian berikutan penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) bernilai RM5 bilion.

Sebaliknya, dua syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low serta bapanya iaitu Aktis Singapore Pvt Ltd (Aktis) dan  Country Group pula mendapat manfaat sehingga beratus juta melalui terbitan bon tersebut.

Aktis Singapore Pvt Ltd yang mana Jho Low adalah benefisiari manakala bapanya, Larry Low, didakwa memiliki Country Group.

Bagaimanapun, Shahrol memberitahu mahkamah yang beliau tidak pernah mengetahui terdapat dua syarikat berkaitan Jho Low yang menjadi pelanggan sekunder terhadap bon 1MDB pada tahun 2009.

Dalam pada itu, Shahrol masih lagi tertanya-tanya mengapa beliau disingkirkan dari jawatan Ketua Eksekutif TIA oleh Terengganu Menteri Besar Incorporated (MBI) pada tahun 2009 sehingga hari ini.

Perbicaraan di jangka bermula sekitar 9.30 pagi ini. –MalaysiaGazette