Gerakan Johor telah secara rasminya mencalonkan empat hingga lima nama untuk bertanding di Tanjung Piai.

JOHOR BAHRU – Gerakan Johor menyatakan hasrat untuk meletak calon dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai sambil menegaskan kalah atau menang tidak menjadi pertimbangan parti itu.

Pengerusi Gerakan Johor,  Datuk Teo Kok Chee berkata, bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebaliknya mahu memberi pilihan ketiga kepada pengundi.

Katanya lagi, Gerakan Johor telah secara rasminya mencalonkan empat hingga lima nama untuk bertanding di Tanjung Piai.

Walaupun keputusan akhir akan dibuat pusat, tetapi Kok Chee berkata, antara calon berpotensi ialah seorang Cina dan orang Johor yang menguasai tiga bahasa.

Beliau juga menafikan perletakan bidan terjun oleh Gerakan di Tanjung Piai.

Sinchew Daily melaporkan, Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee yang kalah tipis dengan undi majoriti 361 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis dalam Pilihan Raya Umum 2018 merupakan antara calon yang dipertimbangkan.

Walaupun pernah bertanding di Pemanis, tetapi Shiaw Lee merupakan pemimpin Gerakan yang sudah lama berkhidmat di kerusi Parlimen Iskandar Puteri atau nama lamanya Gelang Patah yang terletak bersebelahan dengan Tanjung Piai.

“Gerakan sudah meninggalkan BN dan tidak bertanding dalam lapan pilihan raya kecil (PRK) yang sudah.

“Saya rasa telah sampai masanya untuk Gerakan meletakkan calon dalam PRK kesembilan ini,” kata Kok Chee menyatakan hasrat Gerakan Johor untuk bertanding.

Beliau berkata, Gerakan pusat dijangka membuat keputusan pada 12 Oktober sama ada mahu meletakkan calon di Tanjung Piai.